PEMBELIAN TERUS

FAQ PEMBELIAN TERUS

 

 

1. Apakah had nilai pembelian terus dan syarat-syaratnya?

 

Had nilai pembelian terus adalah sehingga RM50,000 bagi setiap jenis item bekalan atau perkhidmatan. Pembelian terus boleh dibuat daripada mana-mana pembekal yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan sama ada bertaraf Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Bolehkah pembelian terus sehingga RM50,000 dilaksanakan untuk semua jenis perolehan bekalan dan perkhidmatan?
Pembelian terus sehingga RM50,000 boleh dilaksanakan bagi kebanyakan perolehan bekalan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, jika terdapat Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) atau Pekeliling Kontrak Perbendaharaan (PKP) atau Arahan Perbendaharaan tertentu yang menetapkan kaedah perolehan yang perlu dilaksanakan oleh Agensi atau pembelian dibuat melalui panel pembekal/pembekal tertentu, maka SPP/PKP/Arahan Perbendaharaan berkenaan hendaklah dipatuhi. Contohnya seperti perkhidmatan percetakan, pembekalan dan penyerahan buku-buku cetakan dan terbitan luar negara, tempahan tiket kapal terbang, pengangkutan barangan import dan sebagainya.
Bagaimanakah untuk menentukan harga yang dikenakan bagi perolehan secara pembelian terus adalah harga yang berpatutan?
Adalah menjadi kewajipan setiap pegawai yang menguruskan perolehan membuat kajian pasaran bagi memastikan harga bekalan atau perkhidmatan yang hendak diperolehi adalah berpatutan dan menguntungkan Kerajaan. Pegawai hendaklah menentukan tawaran harga bekalan atau perkhidmatan yang hendak diperolehi adalah berpatutan setelah mengambil kira kualiti, harga, kegunaan barang itu dan faktor-faktor lain yang berkaitan termasuk kos penghantaran, tempoh waranti, khidmat selepas jualan dan sebagainya. Sehubungan itu, kajian pasaran hendaklah dibuat terlebih dahulu bagi mendapatkan sebut harga secara tidak rasmi daripada beberapa pembekal/syarikat sebelum perolehan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, sebut harga tidak rasmi tersebut tidak perlu dibuka, dijadualkan atau dipilih oleh Jawatankuasa Sebut Harga 
Bolehkah pembelian terus dibuat daripada pembekal yang sama?
Selaras dengan prinsip-prinsip perolehan Kerajaan, perolehan secara pembelian terus hendaklah tidak tertumpu kepada pembekal yang sama/tertentu dan semua pembekal hendaklah diberi peluang yang sama.
Apakah maksud setiap jenis item?
Setiap jenis item merujuk kepada pembelian terus bekalan/perkhidmatan sehingga RM50,000 setahun dari mana-mana pembekal tidak kira sama ada pembekal berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan sama ada pembekal bertaraf Bumiputera atau tidak. Maksud setiap jenis item boleh ditafsirkan berdasarkan kepada contoh-contoh berikut:
  • pelbagai alat ganti yang boleh diperoleh daripada punca bekalan yang sama adalah satu jenis item.
  • item pelbagai saiz hendaklah ditafsirkan sebagai satu jenis item. Contoh pembelian pelbagai saiz paku (1 inci atau 1 ½ inci), cermin, kasut dan bendera.
  • set sofa yang merangkumi pelbagai jenis kerusi (sama ada kerusi 1 tempat duduk atau 3 tempat duduk) bersama meja, ditafsirkan kepada satu jenis item. Jika pembelian perabot terdiri daripada kerusi banquet dan set sofa, maka kerusi banquet dan set sofa boleh dianggap item yang berbeza. Walau bagaimanapun, jika kedua-duanya boleh dibeli daripada pembekal yang sama, ianya boleh ditafsirkan sebagai satu jenis item (perabot).
  • pembelian pelbagai toner ditafsirkan sebagai satu jenis item kerana boleh diperoleh daripada pembekal yang sama.
  • pembelian alatulis (pen, pensel, pembaris, gunting, stapler, pemadam, gam dan sebagainya) ditafsirkan sebagai satu jenis item.
  • pelbagai saiz kertas (A4, A3) dan kertas pelbagai warna adalah ditafsirkan sebagai satu jenis item.
  • komputer, printer, monitor, key board dan CPU adalah satu jenis item.
  • pelbagai ubat adalah satu jenis item.
  • bahan-bahan binaan seperti simen, kayu, papan, siling, paku adalah ditafsirkan sebagai satu jenis item.

 



Comments Off