↑ Return to Soalan Lazim

Unit Bayaran

SOALAN-SOALAN LAZIM UNIT BAYARAN

 

1.      Apakah yang dimaksudkan dengan kerja lebih masa?

 Kerja lebih masa adalah kerja-kerja rasmi / hakiki seseorang pegawai atau Jabatan yang dijalankan atas arahan Ketua Jabatan di luar waktu bekerja biasa yang telah ditetapkan, atau pada hari rehat mingguan atau pada hari kelepasan am.

 

 2.      Siapakah yang layak diberi Bayaran Lebih Masa?

 Semua pegawai dalam Kumpulan Sokongan layak dibayar Bayaran Lebih Masa kecuali pegawai dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

 

 3.      Adakah pegawai yang berkelayakan diberi Bayaran Lebih Masa boleh memilih untuk ditukar dengan Cuti Gantian?

 Pegawai yang berkelayakan boleh memilih untuk diberi Bayaran Lebih Masa atau Cuti Gantian. Jika pegawai memilih untuk mendapatkan Cuti Gantian, pegawai perlu mempunyai 9 jam kerja lebih masa untuk melayakkan diberi 1 hari Cuti Gantian.

 

4.      Adakah pegawai yang menjalankan kerja lebih masa di luar kawasan ibu pejabat boleh menuntut Bayaran Lebih Masa dan Elaun Bertugas Rasmi di Luar Ibu Pejabat?

 Pegawai yang diarah menjalankan kerja lebih masa di luar kawasan ibu pejabat adalah layak menuntut Bayaran Lebih Masa dan juga elaun bertugas rasmi seperti Elaun Makan, Bayaran Sewa Hotel dan Elaun Perjalanan Kenderaan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 3 Tahun 2003 dan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 8 Tahun 2010.

 

5.      Adakah pegawai yang menjadi peserta kursus / seminar / bengkel yang diadakan di luar waktu bekerja boleh dibayar Bayaran Lebih Masa?

 Pegawai yang menjadi peserta kursus / seminar / bengkel tidak layak dibayar Bayaran Lebih Masa atau Cuti Gantian kecuali pegawai yang menjadi urusetia yang mengendalikan kursus / seminar / bengkel tersebut.

 

6.      Apakah kelayakan yang boleh diberi kepada seseorang pegawai yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar stesen pegawai bertugas?

 Pegawai yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar stesen pegawai bertugas boleh diberi elaun dan kemudahan yang berkelayakan seolah-olah pegawai sedang menjalankan tugas rasmi seperti Elaun Makan, Bayaran Sewa Hotel dan Tambang Pengangkutan Awam.

 

7.      Siapakah yang layak untuk dirujuk bagi mendapatkan kemudahan rawatan di luar stesen?

 Pegawai Perkhidmatan Awam dan keluarganya layak untuk dirujuk untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar stesen pegawai bertugas. Keluarga pegawai bermaksud, bagi pegawai lelaki, isteri dan anak-anaknya, dan bagi pegawai perempuan, suami dan anak-anaknya. Anak-anak yang berkelayakan ialah anak-anak yang ditanggung sepenuhnya oleh pegawai yang berumur di bawah 18 tahun atau sekiranya masih bersekolah, di bawah umur 21 tahun. Walau bagaimanapun anak-anak yang daif yang disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani, had-had umur ini tidak terpakai. Istilah anak adalah termasuk anak tiri dan anak angkat yang diambil mengikut undang-undang.

 

8.      Berapakah tempoh had maksimum elaun dan kemudahan yang boleh diberi kepada pegawai dan keluarganya yang dirujuk untuk mendapat rawatan perubatan di luar stesen?

Kerajaan akan menanggung elaun dan kemudahan yang berkaitan maksimum 5 hari bagi setiap kali pegawai dirujuk mendapatkan rawatan di luar stesennya.

 

9.      Sekiranya pegawai dikehendaki menemani keluarganya untuk mendapatkan rawatan luar stesen, adakah pegawai layak memohon sebarang Cuti Tanpa Rekod untuk tujuan tersebut?

 Tiada sebarang Cuti Tanpa Rekod diperuntukkan bagi tujuan mendapatkan rawatan luar stesen.

 

10.     Adakah pegawai yang diarahkan bertugas lebih masa pada hari-hari kelepasan am/ rehat mingguan/ rehat sabtu boleh dibayar tuntutan perjalanan dari rumah ke pejabat?

Seseorang pegawai tidak dibenarkan membuat tuntutan Elaun Perjalanan Kenderaan bagi perjalanan dari rumah ke Pejabat atau sebaliknya pada setiap hari bekerja biasa. Walau bagaimanapun, pegawai layak membuat tuntutan perjalanan jika diarahkan secara bertulis oleh Ketua Jabatan untuk datang ke Pejabat atau ke mana-mana tempat yang diarahkan bagi menjalankan tugas rasmi selepas waktu bekerja biasanya atau pada hari rehat mingguan dan hari kelepasan am. Perkara ini tertakluk di dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 8 Tahun 2010.

 

11.     Adakah pegawai yang menghadiri temuduga untuk ke jawatan lain boleh dibayar tuntutan seperti bertugas rasmi?

 Hanya pegawai yang menghadiri temuduga kenaikan pangkat atau kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL) sahaja layak dibayar tuntutan tersebut.

 

12.     Adakah seorang Pemandu yang menggunakan kenderaan sendiri untuk mengambil kenderaan di rumah Pegawai Atasan/ penyelia dan seterusnya memulakan tugasnya dari situ boleh dibayar tuntutan perjalanan?

 Tuntutan perjalanan dari rumah ke pejabat atau ke tempat pegawai biasa melapor diri untuk bertugas tidak boleh dibayar kepada pegawai.

 

13.     Adakah pegawai yang berkhidmat di luar negeri layak menuntut elaun-elaun seperti bertugas rasmi untuk menghadiri peperiksaan PTK?

 P.A. 39, Bab B memperuntukkan elaun-elaun seperti menjalankan tugas rasmi kepada pegawai yang dikehendaki atau dibenarkan mengambil Peperiksaan Jabatan (termasuk PTK) di luar kawasan ibu pejabatnya sekiranya peperiksaan tersebut tidak disediakan di negara penempatannya.

 

14.     Adakah teratur tindakan Ketua Jabatan yang mengarahkan pegawai yang menggunakan motosikal bagi bertugas rasmi, membayar tuntutan perjalanan pegawai tersebut dengan Elaun Basikal?

 Tuntutan perjalanan telah ditetapkan mengikut jenis kenderaan yang digunakan. Sekiranya pegawai menunggang motosikal bagi menjalankan tugas rasminya, maka pegawai boleh menuntut Elaun Perjalanan dengan hitungan kilometer mengikut kelas kenderaannya. Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan perlu memastikan tuntutan yang munasabah dibuat bersesuaian dengan tugas yang diarahkan bagi mengawal perbelanjaan di bawah peruntukan ini.